"Kerana Bahasa Cerminan Peribadi",
demikianlah slogan yang telah tercipta dari minda saya setelah
bertungkus-lumus menghasilkan laman sesawang berbentuk diari ini.
Ternyata, penghasilan blog ini tidaklah semudah yang disangkakan.
Anggapan saya pada mulanya ternyata salah. Mendengarkan tutorial dari
sahabat-sahabat setia blog memberikan saya sedikit sebanyak gambaran
tentang cara untuk menghasilkan blog.
Penghasilan blog yang sepatutnya
hanya memerlukan beberapa minit sahaja telah menjadikan berjam-jam bagi
saya yang boleh dikatakan ketandusan ilmu teknologi ini. Alhamdulillah
berkat kesabaran dan tunjuk ajar sahabat, wujudlah blog "Kerana Bahasa
Cerminan Peribadi".
Bahasa adalah alat komunikasi
sesama manusia. Namun kerana bahasa jugalah, kita akan berasa sangat
kekurangan dan berasa kosong. Apabila kita tidak faham tentang sesuatu
bahasa yang diungkapkan oleh seseorang sudah tentunya kita akan berasa
sangat kosong. Iaitu tidak ada sebarang perbendaraan kata yang terlintas
dalam fikiran kita untuk memahami maksud yang hendak disampaikan orang
tersebut melainkan ekspresi dan bahasa tubuhnya sahaja. Demikian jugalah
apa yang telah terjadi kepada empunya nukilan ini, yang cuba memahami
langkah demi langkah dalam penghasilan blog yang menggunakan bahasa
Inggeris.
Bahasa juga melambangkan
peribadi seseorang seperti dalam peribahasa "kerana mulut badan binasa".
Empat perkataan tersebut sudah cukup memberi gambaran mengapa bahasa
melambangkan peribadi seseorang. Mulut yang merupakan alat artikulasi
bagi kita untuk berbahasa. Persoalannya, mengapa mulut boleh menyebabkan
badan binasa? Kerana kita boleh mengungkapkan sesuatu yang boleh
menusuk jiwa mahupun menembusi jiwa sehingga membangkitkan emosi
seseorang itu.
Oleh itu, seharusnya kita
sebagai golongan yang memartabatkan bahasa sebagai jiwa bangsa mesti
menjaga setiap tutur kata kita agar kita sentiasa dihormati. Kerana
bahasa itu cerminan keperibadian yang unggul. Sekian...
No comments:
Post a Comment